ROKOK




Bahan kimia yang wujud di dalam rokok atau asap rokok.

  • TURPENTIN - Biasanya digunakan sebagai penanggal cat.
  • PROPILENA GLIKOL - Membantu merangsang ketagihan untuk merokok (nikotina).
  • BUTANA - Mudah terbakar dan salah satu komponen utama petrol.
  • KADMIUM - Boleh merosakkan hati, buah pinggang dan otak.
  • AMMONIA - Membantu menyerap nikotina.
  • BENZENA - Bahan kimia penyebab kanser (racun makhluk perosak, detergen).
  • METOPRENA - Bahan kimia pembunuh kutu binatang peliharaan.
  • BENZOPIRENA - Bahan kimia penyebab kanser.
  • ARSENIK - Racun penyebab bibir melecur dan nafas berbau.
  • ASETON - Ramuan aktif di dalam penanggal pengilat kuku. 
  • PLUMBUM - Bahan perencat pertumbuhan diri dan merosakkan otak.
  • FORMALDEHID - Pengawet mayat. Penyebab kanser, merosakkan paru-paru, kulit dan sistem penghadaman.

Kemudharatan rokok.

  • Merosakan kesihatan diri sendiri dan kesihatan orang yang berada di sekeliling.
  • Membazirkan wang.
  • Menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.
  • Menjejaskan akal dan meletihkan jasmani/fizikal.
  • Menyedut asap yang bertoksik dan tiada manfaat kesihatan langsung.
  • Memberi contoh tauladan yang negatif kepada mereka yang berada di sekeliling.
  • Mewujudkan jurang di antara perokok dan bukan perokok.
  • Penyumbang kepada jumlah kematian terbesar dan tunggal di dunia melibatkan tembakau.
  • Penyumbang kepada peningkatan risiko penyakit kanser paru-paru, penyakit jantung dan sakit dada.
  • Menjejaskan keadaan bayi yang masih di dalam kandungan.
  • Membantutkan pembesaran janin (buat ibu-ibu hamil yang merokok).
  • Menyebabkan mati pucuk.
  • Mengurangkan dan menjejaskan kualiti dan kuantiti sperma.
  • Menyebabkan gigi berkarat.



Mulakan langkah untuk berhenti merokok!


Buku Halal Haram (Panduan Persatuan Pengguna Pulau Pinang)
Poster oleh Kementerian Kesihatan British Columbia, Kanada.

______________________________________________
MULAKAN BERHENTI MEROKOK

YAKIN DIRI

Anda pasti boleh melakukannya. Langkah-langkah berikut boleh membantu anda memulakan penghidupan baru sebagai seorang bukan perokok.

1.BERSIHKAN

Buangkan semua rokok yang ada dalam simpanan. Sembunyikan atau buangkan saja bekas abuk rokok dan pemetik api yang ada dalam rumah, dalam kereta dan di tempat kerja.

2.BUAT NOTA PERINGATAN DAN GALAKKAN

Buat suatu nota menyatakan bahawa anda sekarang bukan seorang perokok. Lekatkan nota tersebut di setiap bahagian dalam rumah, kereta atau tempat kerja anda, terutama di sudut di mana anda biasanya merokok. Buatkan juga nota tersebut dalam bentuk kad kecil yang boleh dimasukkan dalam saku baju untuk dibuat peringatan.

3.LAKUKAN SAHAJA

Untuk kebanyakkan orang cara yang paling berkesan ialah dengan berhenti secara mengejut atau cara ” cold turkey “. Pada hari yang telah anda tetapkan untuk berhenti merokok, anda terus tidak merokok. Sebaiknya, beberapa minggu sebelum tiba hari yang ditetapkan anda telah mula mengurangkan sedikit demi sedikit bilangan rokok yang dihisap.

4.TUMPUKAN PERHATIAN PADA HARI YANG DILALUI.

Tumpukan perhatian anda pada hari yang anda sedang lalui tanpa merokok. Berilah pujian kepada diri anda dan berikan tahniah kepada diri anda setiap kali anda berjaya mengatasi keinginan untuk merokok.

5.BERFIKIRLAH SECARA POSITIF.

Fikirkan diri anda sebagai seorang bukan perokok sebaik sahaja anda mula berhenti merokok dan sentiasa peringatkan diri anda sedemikian. Sekiranya ada orang mempelawa anda rokok, katakanlah terima kasih, saya tidak merokok. Ingatlah bahawa anda telah membuat pilihan positif untuk tidak merokok.

6.DAPATKANLAH SOKONGAN.

Berikanlah peringatan kepada keluarga, kawan rapat dan rakan sekerja yang anda telah berhenti merokok dan memerlukan kerjasama serta sokongan daripada mereka. Mintalah rakan-rakan anda yang merokok supaya tidak mempelawa atau merokok berhampiran anda.

7.MELAWAN KEINGINAN MEROKOK.

Keinginan untuk merokok akan kembali sebaik sahaja anda mula berhenti merokok. Ini memang biasa berlaku, terutamanya pada masa dan situasi yang lazimnya anda merokok. Ingatlah bahawa setiapkali anda berjaya melawan keinginan untuk merokok, anda telah maju kehadapan untuk mencapai status bukan perokok. Katakan pada diri anda, setiap kali anda berjaya mengatasi keinginan untuk merokok, anda akan merasa lebih yakin dan lebih berupaya untuk melawan keinginan untuk merokok pada hari-hari yang berikutnya. Lama kelamaan keinginan untuk merokok akan hilang buat selama-lamanya.

Sabri Ahmad - September 3rd, 2008

No comments:

Post a Comment